Saturday, October 3, 2015

Kenapa orang NS tidak boleh bertutur Bahasa Minang

Dipetik dari nukilan ujangchengkau.blogspot.com

Orang Negeri Sembilan di mana sahaja di atas muka bumi ini pada umumnya tidak menganggap kelompok mereka sebagai kelompok Orang Minangkabau. “ Orang Negeri Sembilan bukan Orang Minangkabau,” itulah kepercayaan Orang Negeri Sembilan.

Keturunan Orang Jawa dari Pulau Jawa samada di Tangjung Karang, Batu Pahat atau di mana sahaja tiada masalah untuk mengaku 'keJawaan' mereka. Begitu juga keturunan Orang Mandailing, Kerinci, Jambi, Rawa atau Banjar. Bagaimanapun, tidak kepada keturunan Orang Minangkabau yang kini gah dikenali sebagai Orang Negeri Sembilan. Mereka tidak mengaku ' orang Minangkabau'.    

Orang Minangkabau di Malaysia juga bersikap begitu. Mereka (Orang Minangkabau) tidak sama dengan Orang Negeri Sembilan.

Orang Negeri Sembilan mendefinasikan Orang Minangkabau selain dari kelompok mereka yang dikandung dalam sistem Adat Perpatih Negeri Sembilan sebagai ‘ Orang Minangkabau Asli (Orang Minangkabau ‘Pure’). Orang Minangkabau Asli (Minangkabau pure) tidak termasuk dalam sistem Adat Perpatih Negeri Sembilan. Masyarakat Negeri Sembilan generasi terdahulu di kampung-kampung tradisional agak tertutup minda mereka dan selektif dalam memilih bakal menantu khususnya menantu lelaki. Secara umumnya mereka tidak berapa bersedia bermenantukan lelaki ' Bukan Melayu'. Lelaki 'Bukan Melayu' yang dimaksudkan dalam konteks ini ialah lelaki berketurunan Indonesia termasuk keturunan Minangkabau Asli. Pernah berlaku di kampung saya ibu bapa seorang gadis menolak pinangan pihak lelaki dari satu-satunya keluarga keturunan Minangkabau Asli di kampung kami di atas faktor keluarga itu bukan keturunan ' Melayu'. 

Catatan ini tidak menafikan sejarah asal usul keturunan Orang Negeri Sembilan. Catatan ini adalah mengenai realiti yang berlaku di kalangan masyarakat Negeri Sembilan dalam menanggap ‘susuk’ mereka. 

Namun, perlu difahami bahawa keturunan Orang Negeri Sembilan tidak boleh ditakrifkan dengan mudah yaani ‘ sebiji ’ (100%) dari keturunan Minangkabau yang berasal dari Sumatera Barat, Indonesia. Mereka adalah dari keturunan campuran pendatang Minangkabau dan penduduk asal. Disebabkan larangan berkahwin sesama suku,kecerakinan keturunan antara dua golongan itu merebak di kalangan masyarakat Negeri Sembilan. 

Begitulah juga dengan sistem Adat Perpatih yang diamalkan oleh masyarakat Negeri Sembilan. Sistem Adat Perpatih Negeri Sembilan bukan ‘foto copy’ sistem Adat Perpatih Minangkabau di Sumatera Barat, Indonesia.

Sistem Adat Perpatih Negeri Sembilan wujud di atas ‘peleburan’ Sistem Adat Perpatih Minangkabau, Sistem Adat Benar (penduduk tempatan) dan Adat Siak. Sistem Adat Perpatih Minangkabau ada persamaan dengan Adat Benar penduduk asal Negeri Sembilan dari segi menasabkan keturunan melalui nasab ibu. Ketiga-tiga elemen adat tersebut lebur dan menghasilkan Sistem Adat Perpatih Negeri Sembilan.
         
Justeru itu, mungkin di atas ‘nas-nas’ yang dinyatakan seperti di atas dan perjalanan masa yang telah melebih 5 abad dari tempoh kedatangan awal orang Minangkabau ke Negeri Sembilan, masyarakat Negeri Sembilan sejak dekad-dekad kebelakangan tidak  selesa  ‘dikulluhumkan ' sebagai Orang Minangkabau secara sebarangan. Dalam kata lain, orang Negeri Sembilan sangat sukar mengaku bahawa mereka adalah Orang Minangkabau atau berketurunan Minangkabau.

Berdekad-dekad sebelum ini, penonton filem klasik Melayu ' Tunang Pak Dukun ' mungkin ada yang tertipu dengan sisi sebenar Orang Negeri Sembilan yang disamakan dengan Orang Minangkabau seperti yang dipertontonkan melalui lagu 'Pulang Merantau' dalam filem tersebut. Paparan yang mengiringi dendangan lagu itu menunjukkan muda-mudi balik ke kampung mereka di Negeri Sembilan dengan menaiki bas.

Sangat jelas bahawa lontaran senikata lagu ' Pulang Merantau' dalam filem Tunang Pak Dukun adalah bukan dalam dialek Negeri Sembilan. Tiada satu tempat pun dalam Negeri Sembilan di mana penduduknya menggunakan dialek seperti dalam lagu tersebut. 

Sesungguhnya, kejahilan mengenai sisi ‘Minangkabaunya’ masyarakat Negeri Sembilan telah lama berlaku dan berakar umbi. Hatta, ianya berlaku sehingga ke hari ini. Bagaimanapun, tiada sesiapa yang perlu dipersalahkan. Senario ini mungkin berlaku kerana uniknya sejarah Negeri Sembilan itu dan sukar dihadam susur galur jalan ceritanya.

Hakikatnya, orang Negeri Sembilan selesa dengan status 'Orang Negeri Sembilan' mereka. Mereka seperti tidak perlu bergantung kepada 'keMinangkabauan' nenek moyang.

Setahu saya, Orang Minangkabau Asli di Malaysia juga tidak menganggap Orang Negeri Sembilan sebagai Orang Minangkabau.

Kebenaran 'keMinangkabauan' orang Negeri Sembilan cuma berlegar di kalangan mereka yang bergelumang dalam sistem adat, golongan terpelajar dan yang rajin membaca sahaja. Pada umumnya, kebanyakkan masyarakat biasa tidak menyedari atau tidak perasan sisi 'keMinangkabauan' mereka.

3 comments:

Iwan raihan said...

Sapo koba tak mengaku. Kau ingat yang duduk monotap kek nogri smbilan ni sumo ea orang Nismilan minang Kabau ko. Perak, jawo, phang, kelantan, sumo hado. Tu la sobab ea dorang Tanak ngaku. Namo jo duk nogori 9. Apo yang den nak koba an. 89% kek nogori 9 ni. Tak kesumo ea oghang noghori yo.

Iwan raihan said...

Kalau kau koba orang johor tu keturunan Jawo bugis memang den cayo bona la. Den tahu tu.
Anak orang jawa bugis yang duduk monotap kek nismilan Ni pun tak ngaku Oghang noghori 9.. ! .... Dia orang johor, Kturunan lanun katenye.

Shahrul78 said...

Info Penulih Blog tu ado silap pomahaman sikit tontang Baso Minang. Baso Minang ado 2 kumpulan. Baso Darek dan Baso Pasisia. Kok Baso Nogoghi ni kumpulan Baso Darek. Baso Minang ni byk sub bahaso. Ado Ratusan Sub dialek Minang. Kok Nak caghi posamaan dgn Baso Nogoghi poie jonguk baso dari 9 Nagari yg jadi 9 suku N9..

Contoh baso minang darek.
Poie Ka mano/Ke mano/Ko Mano Ang
Baliak Kampuang / Baliek Kampuong / Baliok Kampuong