Saturday, October 3, 2015

Lela Maharaja dan Sedia Raja

Suku Biduanda ialah suku adat Luak Rembau. Mengikut sejarahnya, Orang Asli suku kaum Jakun selepas menerima kedatangan orang Sumatera telah hidup bersama mereka dalam tempoh masa yang lama. Akhirnya Orang Asli Jakun tersebut telah memeluk agama Islam. 

Orang Sumatera, kaum perantau telah menamakan Orang Asli Jakun itu biduanda yang bermaksud saudara baru Islam. 

Pengurniaan gelaran tersebut ada kaitan dengan perlantikan Si Rama sebagai Penghulu Rembau yang pertama. 

Si Rama ialah cucu kepada Batin Sekudai, ketua Orang Asli di Rembau ketika itu. Beliau merupakan anak kepada Datuk Bungkal yang berkahwin dengan Datuk Lela Balang. 

Datuk Lela Balang ialah orang bergelar Sumatera yang telah datang ke Rembau pada sekitar tahun 1515/16.

Datuk Bungkal pula menjadi anak angkat Datuk Leteh, pembesar Sumatera yang datang awal ke Rembau iaitu dalam tahun 1490-an. 

Hasil perkahwinan tersebut mereka dikurniakan empat orang anak, tiga orang perempuan dan seorang lelaki iaitu Si Rama yang merupakan anak bongsu. 
Memandang kepesatan pertambahan penduduk di Rembau ,Datuk Leteh pada sekitar 1530-an menyarankan agar Rembau mempunyai seorang pemimpin dan sistem pemerintahan yang sendiri, sungguhpun ketika itu Rembau di bawah naungan kerajaan Johor (Norhalim Hj Ibrahim, 1995 : 75). 

Di atas kebulatan kata, Datuk Leteh dan Datuk Lela Balang serta penduduk Rembau telah bersetuju melantik Si Rama sebagai Penghulu. 

Pencalonan ini dibuat berdasarkan Si Rama ialah cucu kepada Batin Sekudai, ketua Orang Asli di Rembau dan anak kepada orang bergelar Sumatera. Mereka berharap dengan perlantikan tersebut, Si Rama akan menjadi lambang negeri Rembau buat masa itu dan akan datang. 

Datuk Lela Balang dan Datuk Laut Dalam telah pergi menghadap Sultan Johor pada tahun 1540 bagi mendapat pengiktirafan perlantikan tersebut daripada Sultan Johor, Sultan Alauddin Riayat Shah (1527 - 1564) di Johor Lama. (Norhalim Ibrahim, 1995 : 75). 

Ketika menghadap sultan hanya Datuk Lela Balang sehaja yang pergi sedangkan Datuk Laut Dalam tinggal dan menjaga perahu. 

Sultan Johor telah memperkenankan permintaan Datuk Lela Balang itu. 

Di atas perkenannya, sultan telah mengurniakan gelaran Lela Maharaja kepada penyandang pusaka Penghulu Rembau. 

Datuk Laut Dalam tidak berpuas hati dengan berita yang telah disampaikan oleh Datuk Lela Balang kepada rombongannya. 

Beliau juga mahukan keturunannya menjadi Penghulu Rembau. Bagi mengelakkan pertelingkahan berpanjangan, 

Datuk Lela Balang dan Datuk Laut Dalam telah kembali mengadap sultan serta mempersembahkan tuntutan Datuk Laut Dalam. 

Setelah dibincangkan dan dipertimbangkan tuntutan tersebut, sultan telah mencadangkan agar Si Rama dinikahkan dengan anak perempuan Datuk Laut Dalam. 

Anak lelaki hasil pernikahan tersebut akan dilantik menjadi Penghulu selepas Datuk Lela Maharaja Si Rama. 

Sultan juga mengurniakan gelaran Sedia Raja kepada keturuan Datuk Laut Dalam. 

Semenjak itu, penyandang pusaka Penghulu dipilih secara bergilir antara dua waris tersebut, waris Lela Maharaja dan waris Sedia Raja.



No comments: